Wednesday, July 11, 2012

Paracut Minda


Dengan Nama Tuhanku, Tuhan kita, Tuhan selamanya, Allah yang Maha Pemurah Lagi Penyayang.

Kullu hamdan lillah, wa kullu syai' lillah. Alhamdulillah :)

Pada 1 Julai 2012, berlangsung Sambutan 15 Tahun Saifulislam.com di KUIS Bangi. Alhamdulillah, rezeki ana untuk berada di sana waktu itu. Walaupun siangnya sibuk dengan aktiviti Daurah Mukatthafah, sebelah malam selepas nasyat lughawi di auditorium ana dan rakan-rakan yang lain terus ke masjid. Di situ, tengah berlangsung Forum antara Ustaz Hasrizal, akh Hilal Asyraf dan Ustazah Suriani.

Sepanjang forum itu juga, ana duduk sebelah sahabat ana sewaktu di DQ dulu, Husny Fahmy. Jumpa juga sahabat sewaktu di SMAP Kajang dulu, Amirulhazim Alias. Alhamdulillah.

Namun fokus yang ana nak bawakan, bukanlah berkisar isi forum itu ataupun berjumpa sahabat. Tapi ana bersyukur kerana dikelilingi sahabat-sahabat yang ‘hantu’ diskusi. Pantang ada peluang, mesti nak duduk sama dan bincang. Alhamdulillah, sahabat-sahabat dan senior berjaya buat ana minat dengan liqa ilmu sebegini.


Selepas forum itu, berjalan-jalanlah sekejap cari gerai makan yang sememangnya tak ada dah pukul 12 malam tu. Hampeh  Hampa sekejap. Tapi apa kisah, ana dan sahabat ana cari tempat duduk, dan terus buka cerita tengah-tengah malam buta. Banyak sangat yang disembangkan. Dan ana kira, malam itu ana tak patut lepaskan begitu sahaja. Malam itu penuh. Sangat penuh. Apa yang terbit pada malam itu:

1)    Dalam mengkritik sesuatu, ataupun melontar idea-idea dan pendapat, letakkan diri kita di luar. Letakkan diri kita, di suatu tempat yang tinggi agar pemandangan kita menjadi luas. Ini yang dikatakan thinking out of the box. Analoginya mudah. Helang yang terbang tinggi, matanya nampak apa? Semua perkara bukan? Bila kita berada di tempat helang itu, mudah atau susah untuk menilai mangsa mana yang terbaik? Begitu juga dalam menilai isu. Letakkan skop yang lebih luas, agar apa yang diperkatakan lebih adil dan kita nampak the big picture yang sedang diperkatakan. Kerana bila kita nampak gambaran besar itu, kita akan sedar bahawa banyak benda yang kita boleh guna,atau manifest, untuk kebaikan bersama. Bakat, isu, kelebihan semasa, kekurangan semasa, situasi semasa, sumber manusia – semuanya boleh di’eksploitasikan’ untuk kebaikan bersama. Yakni, banyak kritikan membina boleh dikeluarkan, dan banyak jugalah perubahan yang boleh dilakukan.

2) Namun dalam mengeluarkan kritikan yang adil dan ilmiah, memerlukan kepada ilmu itu sendiri. Tanpa ilmu, memang jelas antara siapa yang lebih berhak berkata tentang itu ini, dan siapa yang lebih berhak menuntut ilmu dalam bidang itu agar tidak menjadi perkara yang merugikan pengkritik itu.

3)   Dan kritikan juga memerlukan kepada pengalaman. Contohnya, mana mungkin kita mampu mengkritik sesedap rasa orang yang sedang bercakap di hadapan yang sedang memberi taklimat atau talk dan sebagainya, sedangkan diri kita sendiri tak pernah pun cuba untuk berada di tempat orang itu. Itu tak kena, ini tak kena. Sedangkan diri sendiri belum teruji. Adalah lebih baik, untuk dia merasai dahulu situasi itu, dan bercakap berdasarkan ilmu dan pengalaman. Itu lebih afdal dan bermanfaat untuk semua. Untuk mencari pengalaman itu, tempatkan diri di tempat yang sama atau hampir serupa. Dari situ, kita akan dapat pengalaman. Dan dari perolehan itu sebenarnya, lebih banyak ‘kebaikan dalam perubahan’ yang boleh dihasilkan. Mengkomen tanpa pengalaman sebegini, mengundang kezaliman terhadap ilmu dan ia secara tidak langsung adalah ketidakadilan terhadap sistem keilmuan itu sendiri. Untuk menjadi adil, TAHU dan FAHAM tentang isu atau keadaan itu terlebih dahulu.

4) Dan buang soal malu. Dalam apa perkara sekalipun, malu adalah barrier yang paling menyusahkan ilmu dan pengalaman untuk masuk. Buang rasa takut untuk membuat silap. Masalah kita, adalah kita takut orang perkatakan tentang kesilapan kita. Preassumption yang kita buat menjadi penghalang utama potensi yang kita tak pernah tahu wujud. Tapi, ana percaya kalau ditanya kepada orang yang akan mengata tentang silap kita seperti apa yang ‘preassumptions’ kita katakan, mereka juga mempunyai preassumptions yang sama. Ia berlaku. Semua berfikir preassumptions yang sama, hinggakan tiada siapa yang mahu ke depan. Maka siapa yang berjaya buang preassumptions itu, HANYA dia yang beruntung. Biasa kita dengarkan, “buang rasa malu tu” ? Ya, cakap memang mudah: “buang rasa malu”. Tapi jujur, kalau ada perkara yang ana dah tak ‘malu-malu’ untuk buat, ana belum kenalpasti lagi – bila dan bagaimana proses ‘pembuangan malu’ itu berlaku. It just happens. Ana terfikir, kalau dijumpai ‘key’ untuk buang rasa malu, proses ‘pembuangan malu’ itu akan menjadi lebih mudah dan tak perlu tunggu masa yang lama untuk tiba-tiba - ‘sedar’ - perasaan malu tak bertempat itu sudah berganti dengan keyakinan. Pokoknya, bukanlah ‘key’ itu menjadi persoalan yang paling penting sekarang. Kalau dijumpai, alhamdulillah. Kalau belum, usahakan. Namun yang lebih penting, adalah kita cuba sahaja perkara yang diyakini mampu bawa manfaat dan kebaikan. Oh ya, malu di sini, bukan sebarangan malu ya. Ada beza antara al-Haya’ dan al-Khajal.

5)    Hak ilmu adalah, difahami, diamal, dan disebarkan. Kerana itu apabila bertemu dengan ulama-ulama, bertemu dengan ustaz-ustazah, guru-guru, minta doa dan berkat dari mereka. Bila kita mendengar kuliah dan syarahan terus dari mereka, berkat itu lebih mudah datang. Dan jangan pandang rendah dengan nilai berkat ini. Besar maknanya bagi mereka yang beriman. Apa yang nak diminta? Mintalah agar dihalalkan doa, dimudahkan kita menuntut ilmu-ilmu lain,dimurahkan rezeki dan sebagainya. Apabila mereka memandang kita dengan pandangan rahmat,dengan pandangan kasih kerana kita bercakap dan meminta terus doa dari mereka, itupun sudah cukup besar. Apatah lagi bila mereka menjawab permintaan kita dan mendoakan kita dan menyebut: Allahu yubaarik fiik.. Besar nikmat itu.

6)    Mahasiswa berada dalam keadaan yang dikatakan sebagai “blanket of specialization”. Umum setuju bahawa dalam keadaan sistem pendidikan yang sangat disistemkan ini, kita semakin sukar melihat kepada pelajar-pelajar yang mahir dalam pelbagai bidang. Kita semakin sukar melihat ulama yang faqih ilmu sains dan agama. Ada ulama-ulama itu, tapi dalam kalangan orang muda, khususnya di Malaysia, ana masih belum pernah dengar lagi seorang ulama muda yang faqih sains dan agama. Pelajar-pelajar yang di bawah selimut ini, mereka tak nampak apa yang ada di bawah selimut lain. Sehingga ke satu tahap, mereka tak nampak hubungkait ilmu dalam bidang agama dengan ilmu dalam bidang agama. Bagi mereka, dikotomi yang wujud hasil persepsi salah itu adalah norma mentaliti masyarakat yang semakin buta. Walhal, kesemua jenis ilmu yang pernah wujud dalam dunia ini, yang sedang wujud, dan akan wujud adalah milik Allah SWT. Kalau masyarakat sedar akan hakikat ini, pengajian agama takkan dianggap sebagai pengajian second-class atau pengajian ‘jalan terakhir’. Nah, mengubah persepsi ini adalah cabaran yang besar. Tanggungjawab SEMUA pihak, dan khususnya kepada mereka yang memegang kuasa untuk menggubal sistem pendidikan. Tak pernahkah terfikir, mengapa ilmuwan-ilmuwan Islam terdahulu wujud dalam zaman yang sangat panjang dan mereka muncul bersama ilmu-ilmu yang membentuk dunia sekarang?


Renungkan ayat dari surah Mujadalah ayat 11 : "Allah meningkatkan darjat orang yang beriman di antara kamu dan juga orang yang dikurniakan pengetahuan dengan kelebihan beberapa darjat." Allah sebutkan IMAN, kemudian baru PENGETAHUAN. Al-Quran tak pernah mengamalkan dikotomi dalam kelimuan. Ilmu agama dan sains itu seiring, saling menyetujui. Sebab itu ulama-ulama terdahulu melengkapkan dahulu tuntutan Syariatullah pada usia muda (menghafaz al-Quran dan sebagainya) dan melengkapkan Sunnatullah selepas itu. Kerana segala yang diperoleh dari Sunnatullah, asasnya ada di Syariatullah. Segala punca kejadian alam yang berlaku, jawapan kepada persoalan “Kenapa?” sentiasa berbalik kepada Dia al-Khaliq. Berbeza sekali jika tiada asas Syariatullah, maka Alam Semesta akan dianggap kebetulan, kejadian manusia adalah kebetulan, dan segala keajaiban yang akal sendiri tidak mampu tafsir adalah kebetulan. Kita ada Allah, dan kita tahu, bahawa setiap ‘kebetulan’ itu bukanlah kebetulan, tetapi bukti kekuasaan Allah. Dan lebih penting, bukti bahawa kita sebagai manusia yang sangat rendah limit akalnya, takkan mampu mencipta walau setitis air.

Pokoknya, kita berada dalam satu arus, atau kitaran, yang terlalu norma dan bejat. Tahrirkan ia, raikan pengetahuan, festivalkan ilmu, insyaallah kita akan berjaya.

No comments: