Tuesday, March 5, 2013

+2 Jemput!


Sejak beberapa bulan berada di sini, saya banyak dipertemukan dengan beberapa peristiwa atau episod yang saya kira 'worth mentioning' apabila kita bercakap tentang modal insan. Iya, mereka mungkin tidak sehebat atau sebaik kita dari segi kebersihan, segi kelembutan tutur kata, dan sebagainya. Namun banyak benda dari segi dalaman manusiawi yang mereka lebih hebat dari kita.

Adil dalam menilai, mengambil kira pengalaman sendiri di bumi kelahiran, membanding dengan keberadaan semasa, saya simpulkan: masih banyak yang perlu kita pelajari jika hendak membina negara maju.
Kita ada Islam. Namun Islam itu tidak terjelas pada perilaku masyarakat yang siang dan malamnya menghirup udara pembangunan material semata-mata. Kita sudah ada agama yang betul. Tapi di mana silapnya, sehingga Islam seolah-olah tinggal ritual ibadat di musolla dan masjid. Pengamalan, skeptisme, dan latar sosio-masyarakat kita secara am masih jauh dari penerapan Islam.

SOLLU' ALAN NABIY!

Mereka ini kuat bertengkar. Pantang silap sikit, ada sahaja yang nak ditengkarkan. Biasanya pertengkaran akan berlaku di tempat yang sesak. Di tempat-tempat yang 'too crowded', seperti dalam bas awam. Kadang tu benda kecil sahaja. Tapi tengkarnya bukan kemain.

Yang lagi menghairankan, bila dua orang mula bertengkar, orang sekeling mesti akan masuk campur. Memang masuk campur sungguh! Macam dia pula watak utama dalam drama itu. Yang ni 'backup' seorang ni, yang tu pula 'backup' kawan ni.

Pernah sekali dalam perjalanan pulang dari kuliah, bas yang dinaiki tiba-tiba jadi penuh. Sesak betul! Kita pun 'adjust' la badan nak elak terbau perfume percuma yang berbagai jenama tu. Entah macam mana, yang seorang ni terlanggar seorang lagi agaknya, terletuslah dialog tak puas hati.

Tengah-tengah hangat berdialog tu, tengah hangat masing-masing tinggikan suara, tengah hangat masing-masing nak menang, akan ada yang tiba-tiba jerit: Sollu'alan nabiy! Sollu'alan nabiy!
Yang lain di sekeliling pun ada yang cuba leraikan dan sambut dengan selawat. Tak jadi juga, masih gaduh lagi. Menjerit lagi kawan ni: Sollu'alan nabiy! Sollu'alan nabiy!

Perlahan-lahan, 'hangat' tadi mula reda. Semua yang keliling cakap "khalas,khalas" (sudah, sudah) sampailah berhenti bergaduh dua orang ni. Setel. Masing-masing peluk dan laga pipi. Ah pelik aku!

Tapi inilah hebatnya masyarakat mereka. Pantang ada yang bergaduh, mesti ada yang cuba leraikan. Hormatnya pada selawat, bila dengar saja "sollu'alan nabiy!" mesti akan nampak sikit reda api marah itu. Kalau boleh nak berhenti bergaduh terus walaupun hati tengah panas. Mereka bukan jenis pendendam. Dan jarang sekali tengok mereka bertumbuk kalau tengah bergaduh.

Pengalaman sendiri, dalam KTM sewaktu pulang ke rumah dari Kuala Kubu Bharu. Pernah sekali dalam keadaan sesak, para penumpang yang berhimpit-himpit pun 'adjust' la nak bagi semua orang boleh masuk. Bukan nak selesa seorang diri saja. Entah macam mana, ada pulak dua orang nun di hujung tiba-tiba bertengkar. Tak dan apa, mula 'angkat tangan' pukul muka satu sama lain. Iya lah, mereka berdua berdiri berhadapan. Mungkin terpijak kasut ke apa. Tapi, tiada siapa yang cuba halang. Masing-masing pandang dan buat hal sendiri. Padahal tren itu penuh! Sampailah beberapa minit lepas itu ada seorang lelaki ni leraikan. Tiadanya orang yang jerit "sollu'alan nabiy!" atau "khalas,khalas!". Maki hamun ada lah.

Berbeza bukan?

Kadang orang yang pertama kali tiba ke negara ini, susah nak faham masyarakat Mesir ini bagaimana. Di tempat saya, beginilah. Di tempat lain insyaallah. Iya mereka golongan yang kita boleh katakan 'ekspresif'. dari tutur katanya, bahasa badannya, nada suaranya, dan banyak lagi menunjukkan mereka ini bukan golongan yang mudah mengalah. Selagi mereka rasa mereka betul, selagi itulah nak pertahankan. Kalau bercakap dengan kita, tangan yang menggayakan bahasa itu wajib. Mulut yang keluar suara kuat-kuat dan air liur itu pun wajib. Haih.

Kadang kita rasa 'bengang' dengan sifat kurang penyabar beberapa orang Mesir yang kita jumpa. Tapi jangan tutup mata kita dengan sifat sebahagian lain yang tidak pendendam, penyabar, memaafkan, melupakan silap orang lain, suka memberi hadiah, suka tegur orang lain dengan terbuka dan sebagainya.

Kita mungkin rasa negara kita hebat dengan bangunan dan sumbernya. Tapi dalam beberapa bab kemanusiaan seperti ini, kita harus akui banyak lagi yang perlu kita perbaiki.

HAD DA, HADIYYA.

Pernah sekali itu, saya berjalan dari Masjid Al-Azhar menuju ke mahattah (stesen) untuk mengambil bas pulang. Dalam perjalanan, tiba-tiba berselisih dengan seorang pemuda ini. Lebih kurang sebaya saya, sederhana sahaja pakaiannya, tegur saya:

"Enta Muslim?"
"Aoo." (Haah)
"Hat da, hadiyya." Tangannya menghulurkan senaskhah Al-Quran.
"Eh?"(Apa?)

Dia senyum, dan terus beredar. Diri pun tak sempat nak ucap terima kasih. Toleh sahaja ke belakang dia sudah hilang di balik selekoh laluan pejalan kaki.

Cantik Al-Quran itu. Baru dan masih bersih lembarannya. Moga Al-Quran ini akan menjadi jariah buat dirinya, insyaallah.

Dan baru-baru ini juga berlaku peristiwa yang selalu saya lihat berlaku pada orang lain. Ketika itu saya dalam bas sedang menuju ke Jamiah. Takdir kami terkeluar lambat sedikit dari biasa, bas merah 80/ (lapan-puluh palang) pun dah penuh. Kerusi semua dah penuh. Kami hanya berdiri, sekali-sekala menghimpit sedikit ke tepi untuk beri laluan kepada penumpang lain yang hendak turun. 'Ammu yang duduk di hadapan saya tiba-tiba tawar nak ribakan beg. Saya dengan leganya serahkan beg yang berat itu. Berkerut muka 'ammu itu tahan beratnya beg saya. Terima kasih ya :)

Kami senyap sepanjang 15 minit itu. Tapi saya teringat benda lain. Selalu sahaja saya ternampak bila ada makcik-makcik atau pakcik-pakcik yang membawa beg atau kantung yang berat, akan ada orang yang tolong angkatkan atau pegangkan. Pertolongan datang dengan sendiri.

Seingat saya, jarang (dan hampir tidak pernah) saya lihat peristiwa yang sama berlaku sepanjang pengalaman saya naik pengangkutan awam di Malaysia. Mungkin ada, wallahualam. Dalam bas, warga emas dan wanita paling diutamakan tempat duduk. Tiada siapa suruh. Semua buat dengan rela. Seolah satu budaya di sana. Tapi di Malaysia, ada beberapa insiden yang saya lihat orang muda-muda ditegur supaya tempat duduknya  dalam KTM diberi kepada warga tua. Kasihan bila tengok wajah sayu pakcik itu memandang anak "muda" di depannya yang boleh pula buat-buat tak tahu. Bukannya susah sangat pun nak offer tempat duduk. There's nothing 'un-gentlemen' about it. Bahkan dengan buat-buat tak tahu itu lagi 'un-gentlemen' sebenarnya. Kalau dengan marka, kemain tunjuk hero. "Protective" konon. Hampagas betul.

SHIDDA HILLAK!

Musim panas sedang merangkak tiba. Hobi lama ke kedai 'asir (jus) datang lagi. Bukanlah hobi tetap tapi, kalau ada rezeki lebih, itu lah tempat yang selalu diidam-idamkan :)

Dan untuk musim ini, pertama kali pergi ke 'asir di hadapan dataran suq sayyaraat (pasar kereta). Jumpa lagi si Mustafa yang dah berbulan-bulan tak jenguk.

"Yaaa duktuuur!"
Eh dia ingat lagi rupanya. :)

Order jus mangga, minum, dan pergi bayar. Sebelum keluar dia panggil:

"Ya duktur Fakhri, shidda hillak!" (Sini cakap 'Fakhri' sahaja. Kalau cakap Afiq, susah nak terangkan.)
"Shidda eh?"
"Shidda hillak."
"Bi ma3na eh?" (Maknanya apa?)
"Bittaufiq wannajah!"
"Ohhhhh! Syukran jazilan!"
"Jazakallah kheir ya akhi."

Lihat? Senang sahaja berkawan dengan Arab ni. Kalau yang mesra, mesra betul. Kalau yang kasar sikit tu, sabar je lah..

Shidda hillak. Bittaufiq wannajah. 6 tahun lagi, dan kalimah itu bakal jadi antara penguat semangat ku di sini selain doa-doa kalian.. Iya, bila difikirkan balik, memang aturan Dia cantik. Dengan segala perancangan kita yang kita rasakan rapi, perancangan Dia lagi rapi. Yakin. Dari dahulu lagi "Yakin" tak pernah mengecewakanku. Dalam setiap perkara, setiap harapan, setiap doa.. "Yakin" - di samping usaha - benar-benar menguatkan semangat untuk kejar apa yang betul dan barakah.

Bila difikirkan balik, di tempat yang digelar 'ibu dunia' ini pun banyak, terlalu banyak, nilai yang boleh kita belajar dan bawa. Mereka mungkin tidak sekaya harta seperti sebahagian daripada kita. Tetapi sebahagian dari mereka memang sangat kaya akhlak. Dan di negara tercinta, ku yakin sinar akhlak yang Rasulullah ajar ada dan semakin ada. Kita perlukan contoh untuk masyarakat ikut.

Dan siapa lagi sebaik-sebaik contoh masa kini kalau bukan para pemimpin yang berakhlak dengan akhlak Islami? :)

GAMBAR-GAMBAR SEKITAR KAHERAH, AD-DAQAHLIAH, AIN SUKHNAH





















No comments :